Sunday, March 3, 2013

Merpati Putih Lambang Satu Rasa

Merpati Putih itu cuba terbang,
Cuba menggapai awan,
Setiap hari....
Dari bawah..ia cuba bertatih,
Mengimpikan dirinya di angkasaraya,
Berkali-kali dicuba,
Namun dia masih sukar mengepakkan sayapnya.

Satu hari, sesuatu terdetik di hatinya,
Kenapa mesti diingat kenangan silam,
Sekali jatuh bukannya akan jatuh selama-lamanya,
Suatu hari, dia masih perlu berada di angkasa.

Sayapnya yang kecil dikuak-kuak,
Tubuhnya ternaik sedikit,
Sedikit demi sedikit,
Merpati Putih itu semakin tinggi di udara,
Ada rasa gembira di hatinya,
Dia memerhatikan alam sekelilingnya dari udara,
Cantik. Indah. Seperti mimpinya.

Tapi... nafasnya terasa berat,
Dadanya sebak,
Seakan ada sesuatu yang menekan,
Kenapa itu yang dirasakannya?
Adakah dia masih belum bersedia untuk berada di angkasa?

Merpati Putih itu cuba mengenal dunia barunya,
Dunia baru yang cuba direntasnya,
Tapi, tubuhnya semakin memberat,
Kepak kecilnya terus dikuak-kuak,
Dia terus berusaha,
Tapi... apa kudrat yang dia ada?
Dia bersendirian.

Satu ketika,
Air matanya menitis,
Merpati Putih itu menangis,
Adakah dia terlalu lemah?
Adakah dia sudah berusaha bersungguh-sungguh?
Kenapa dia rasa sangat lemah untuk terus berada di udara?

~~~ Ya Allah. Tolonglah dia. Merpati Putih yang lemah. Bimbinglah dia menuju jalan takdirnya. Jangan lepaskan dia begitu sahaja. Jangan biarkan dia terumbang-ambing dengan hati yang lemah. Patah. Bantulah dia. Merpati Putih itu sedang berusaha. Tapi mungkin dia tidak cukup kuat untuk menghadapinya sendiri. Jangan biarkan dia sendirian Ya Allah. Kasihanilah dia. ~~~

posted from Bloggeroid

No comments: